skkiau1.zoom-a.com
SEKOLAH KEBANGSAAN KIAU 1
e-mel : skkiau1kb@gmail.com

| UTAMA | KATA ALU-ALUAN | SEJARAH | FALSAFAH PENDIDIKAN | LOGO SEKOLAH | VISI & MISI | LAGU SEKOLAH | STAF AKADEMIK | STAF SOKONGAN | PIBG | KEPUTUSAN UPSR | PAUTAN | GURU BERSARA | PERISTIWA BERGAMBAR | Untitled | Untitled | Untitled |

LATAR BELAKANG PENUBUHAN SEKOLAH

(Disusun oleh Losius Goliong)

Sekolah Kebangsaan Kiau 1 terletak di pertengahan antara tiga buah kampung ia itu Kampung Kiau Nuluh (dahulunya Kg. Kiau I), Kampung Kiau Toburi (dahulunya Kg. Kiau II) dan Kampung Kiau Bersatu (dahulunya Kg. Kiau Tomodu). Ketiga-tiga kampung ini terletak di bawah pentadbiran Pejabat Daerah Kota Belud. Jarak sekolah ini dari Pekan Kota Belud ialah lebih kurang 70 kilometer. Sebelum adanya kemudahan jalan raya, penduduk dari ketiga-tiga kampung ini terpaksa berjalan kaki berhari-hari ke Pekan Kota Belud untuk membeli keperluan seperti garam, ikan, pakaian dan sebagainya serta dalam masa yang sama memasarkan hasil-hasil dari kampung ini ke pekan berkenaan.

Keinginan masyarakat untuk mendapatkan pendidikan secara formal di kawasan ini mula dirasai apa bila timbulnya kesedaran di kalangan beberapa pemimpin masyarakat pada masa itu seperti Orang Tua (OT) Balu Kendiu (Ketua Kampung Kiau II), En. Taliban Bin Yunduk, En. Sintau Toboh ( Ketua Kampung Kiau 1), En. Kansinun Masatur (Wakil Ketua Kampung Kiau II) dan En. Angkut Gidong yang bertugas sebagai anggota Polis ketika itu.

Kumpulan pemimpin ini telah mengadakan perbincangan dengan penduduk di ketiga-tiga kampung ini bagi menjelaskan cadangan mereka untuk mendirikan bangunan sekolah di kampung ini. Penduduk ketiga-tiga kampung berkenaan amat komited dengan rancangan berkenaan dan bersetuju mengadakan gotong-royong untuk membina bangunan sekolah tersebut.

Akhirnya orang-orang kampung memulakan gotong-royong membina bangunan sekolah berkenaan di penghujung Tahun 1950-an dan telah siap pada bulan Mei 1960. Bangunan pertama sekolah ini diperbuat daripada kayu bulat, atap rumbia dan berlantaikan buluh didirikan di tengah-tengah ketiga-tiga kampung tersebut ia itu berhampiran dengan Sungai Kadamaian di kaki Gunung Kinabalu yang mana terletaknya lokasi sekolah sekarang ini.

        

Setelah siap sepenuhnya, bangunan sekolah tersebut telah dirasmikan pada 10 Mei 1960 oleh Pegawai Daerah Kota Belud waktu itu. Beliau datang ke kampung ini bagi merasmikan bangunan tersebut dengan diiringi oleh En. Muhammad Yakub, Guru Besar SK. Pekan, Kota Belud pada mas itu. Sekolah ini kemudiannya dikenali sebagai Native Volunteer School Kiau II, Kota Belud. Guru Besar pertama yang ditugaskan mentadbir sekolah ini ialah En. Medi Abdul Rahman dari Kg. Singgaron, Tuaran dengan bilangan pelajar pertama seramai 46 orang.

Disebabkan faktor perhubungan yang sukar dan jauh dialami oleh pelajar-pelajar dari Kg. Kiau I yang berulang-alik setiap hari ke sekolah ini, masyarakat di kampung berkenaan mengemukakan permohonan ke Jabatan Pelajaran Sabah supaya didirikan bangunan sekolah baru di kampung berkenaan.

Permohonan tersebut diluluskan dan bangunan baru di kampung berkenaan siap dibina pada 16 Ogos 1961 dan dikenali sebagai Native Volunteer School Kiau I, Kota Belud. Sekolah tersebut mula beroperasi pada 17 Ogos 1961. Guru Besar pertama yang bertugas di sekolah tersebut  ialah En. Shafie bin Timbalun berasal dari Kg. Bundu Tuhan, Ranau.

Pada tahun 1962, kerajaan mengambil-alih sepenuhnya pentadbiran kedua-dua sekolah tersebut dan nama kedua-dua sekolah tersebut digantikan dengan nama Government Primary School Kiau I, Kota Belud dan Government Primary School Kiau II, Kota Belud. Sejak dari itu kerajaan mulai menyalurkan pelbagai bantuan dan kemudahan untuk keperluan guru-guru dan pelajar di sekolah-sekolah berkenaan.

Pada tahun 1966, kerajaan meluluskan peruntukan untuk membina bangunan baru berukuran 20 x 90 kaki persegi di kampung ini. Bangunan ini mempunyai 3 bilik darjah untuk menampung kelas dari Darjah 1 hingga Darjah 6.

Pada tahun 1967, Pengarah Pelajaran Sabah mengarahkan supaya kedua-dua sekolah berkenaan digabungkan untuk memudahkan pengurusan pentadbirannya. Penggabungan ini dipersetujui oleh penduduk ketiga-tiga kampung dengan menggunakan bangunan yang baru siap dibina di tapak Government Primary School Kiau II, Kota Belud.

Nama sekolah tersebut kemudiannya dikenali dengan nama baru ia itu Sekolah Kebangsaan Kiau 1, Kota Belud sehingga sekarang. Penggabungan kedua-dua sekolah tersebut menyebabkan bangunan sekolah di Kampung Kiau I dihentikan operasinya. Guru Besar pertama Sekolah Kebangsaan Kiau I, Kota Belud yang ialah En. Medi Abdul Rahman.

Walau pun Sekolah Kebangsaan Kiau I terletak di kawasan pedalaman, namun ia turut menunjukkan peningkatan dalam pelbagai aspek seperti sekolah-sekolah lain. Kini sekolah ini sudah berubah wajah. Bermula dengan pelajar seramai 46 orang, kini jumlah pelajarnya melebihi 200 orang setiap tahun iaitu merupakan antara sekolah  yang mempunyai pelajar yang teramai di antara sekolah-sekolah pedalaman di Zon Selatan Kota Belud.

Dari segi pencapaian akademiknya, sekolah ini sudah mula mencatatkan pencapaian yang agak memberangsangkan dalam peperiksaan UPSR khususnya. Bahkan sekolah ini merupakan salah sebuah sekolah yang pernah dan sentiasa sahaja menyumbang keputusan UPSR 5A di peringkat Daerah Kota Belud.

Dari segi kemudahan fizikal, sekolah yang terletak jauh di nun pedalaman ini sudah mendapat kemudahan tenaga elektrik serta kemudahan perhubungan jalan raya yang baik serta bekalan air yang mencukupi.

          Sejak penubuhannya, sekolah ini telah melahirkan ramai graduan yang mendapat kelulusan akademik di peringkat Ijazah Doktor Falsafah, Ijazah Sarjana, Ijazah Sarjana Muda, diploma dan sijil dalam pelbagai bidang sama dari univrtsiti dalam dan luar negara. Sementara itu, bekas-bekas pelajar yang telah berjaya ini telah bergabung tenaga untuk menubuhkan Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Kebangsaan Kiau 1. Persatuan ini telah didaftarkan di bawah Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan giat menyalurkan sumbangan kepada para pelajar di sekolah ini khususnya kepada pelajar-pelajar yang mendapat kelulusan cemerlang dalam peperiksaan UPSR.

          Semoga SK. Kiau I ini terus gigih dan tidak jemu-jemu mendidik serta melahirkan insan unggul yang benar-benar berwibawa, intelek, berpengetahuan, berketerampilan dan berpengetahuan serta mempunyai akhlak terpuji yang dapat memenuhi keperluan sumber tenaga manusia yang mampu menyumbang ke arah kemajuan negara.



Zoom A - Program Pembelajaran Secara Interaktif Melalui Internet Yang Tercanggih Di Malaysia

Pelawat: